Monday, September 19, 2011

Ibadah diMadinah dan Mekah Mencari Pengampunan dan Keredhaan Allah Umrah 10 Ramadhan Terakhir

Mencari Pengampunan dan Keredhaan Allah - Bahagian ke 2

Berlatar belakangkan Masjid Nabawi
Persiapan Untuk Berbuka Puasa di Dataran Masjid Nabawi

Kami telah pun sampai dihotel Dallah Taibah Madinah pada 22hb Ogos 2011 sekitar jam 8 malam. Alhamdulillah hotel ini dekat sangat dengan Masjid. Moga moga kami dapat mengambil peluang sepenuhnya untuk beribadah  ketika berada di kota suci ini.Ya Allah permudahkanlah semua urusan kami. Allah hu yasir wala tu asir. Setelah semua urusan bagasi dan kunci bilik selesai, kami naik ke Restoran untuk makan malam. Alhamdulillah makanannya bagus. Lepas makan kami masuk ke bilik. Alhamdulillah, bilik di Madinah juga bagus dan selesa. Kami bersegera menunaikan jamak takhir maghrib sebelum merebahkan diri sebagai persiapan untuk solat malam.

Berdasarkan pengalaman lepas, saya menasihatkan Ain agar tidak mandi pada malam itu dan esok sehingga badan kita dapat menyesuaikan suhu panas di Madinah yang ketika itu mencecah 42 darjah celcius pada siang hari dan 32 darjah celcius pada malam hari. Perubahan suhu boleh menyebabkan kita demam, itulah alasannya. Isteri saya faham sangat. Dia lebih biasa dengan suhu di Madinah dan Mekah sebab telah beberapa kali ke kota ini sejak dia muda dan bujang dahulu. Bezanya, setiap kali itu juga dia tewas kepada batuk dan demam.

Ingatan saya  kembali kepada Rasullullah dan Masjid Nabawi. Ya Allah aku amat bersyukur kerana telah selamat sampai ke kota suci Madinah,  tak sabar sabar untuk pergi menziarahi  Rasulullah. Sesungguhnya Madinah adalah kota suci umat Islam dan tanah haram yang dipelihara Allah.

Sabda Rasulullah SAW : “Madinah adalah Tanah Haram, sesiapa yang melakukan kezaliman, atau melindung orang yang melakukan kezaliman di dalamnya,  mereka dilaknati Allah, dan semua amalan mereka tidak diterima oleh Allah pada hari kiamat”.

Didalam bas tadi Ustaz Hamid beritahu  di tanah haram tiada kafir dibenarkan masuk. Sesuai dengan sabda Rasulullah SAW : “Sesungguhnya Ibrahim telah mengharamkan Makkah dan berdoa untuknya dan aku mengharamkan Madinah sepertimana Ibrahim mengharamkan Makkah, dan aku berdoa untuk keberkatan cupak dan gantangnya sepertimana Ibrahim berdoa untuk Makkah”. Itulah gambaran sebenar kenapa ia di panggil tanah haram.

Secara ringkasnya Ustaz memberitahu bahawa solat di Masjid Nabawi mendapat ganjaran 1000 pahala, di Masjid Al Aqsa 500 manakala di Masjidil Haram 100,000 kali ganda.

Ini di perkukuhkan oleh riwayat  Imam Ahmad dari Jabir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “ Satu sembahyang dimasjidku lebih afdhal daripada seribu sembahyang di masjid-masjid yang lain, kecuali Masjidil Haram (di Mekah): dan satu sembahyang di Masjidil Haram pula lebih afdhal daripada seratus ribu sembahyang di masjid-masjid yang lain.”
Saya masih ingat lagi ketika mengerjakan Haji pada tahun 1999, saya dan Allahyarhamah isteri saya berusaha keras untuk mendapatkan solat 40 waktu di Masjid Nabawi kerana semata mata untuk mendapatkan keredhaan Allah dan ganjaran yang di janjikan. Saya petik hadith Sabda Rasulullah SAW : “Sesiapa solat

40 waktu di masjidku secara berterusan tanpa meninggalkan satu

solat pun, maka di tulis untuknya keselamatan daripada api

neraka, keselamatan daripada azabnya dan terlepas daripada

bahaya munafik”.


Inilah yang Ustaz beritahu awal tadi bahawa tujuan kita ke sini ialah untuk menghapuskan dosa. Moga moga Allah dapat menerima segala amalan kami dan para jemaah yang lain dan memaafkan kesalahan dan dosa dosa yang kami lakukan sebelum ini. Ya Allah tolonglah kami, terimalah kami, ampunilah kami, sesungguhnya kami ini jahil, kami ini jahat, kami ini sombong terhadap Mu, kami ini menzalimi diri kami sendiri. Ya Allah ampunilah kami , ampunilah dosa dosa ibu bapa kami, Ya Allah. Jangan Engkau biarkan kami begini Ya Allah. Kami tiada daya dan kuasa kecuali kekuasaan Mu, kami memohon Rahmatmu, tanpa keampunan dari Mu, tanpa rahmatMu Ya Allah kami akan jadi orang yang rugi Ya Allah, ampunilah kami Ya Allah.

Ustaz juga memberitahu kami agar banyak bersabar ketika di Madinah kerana  Rasulullah SAW bersabda mana-mana  umatnya  yang bersabar menanggung kesusahan di Madinah,  akan di berikan syafaat pada hari kiamat nanti. Saya mengingatkan diri sendiri dan juga keluarga agar sentiasa bersabar, jangan merungut bila terasa berjalan jauh dan penat, jangan merungut kerana kepanasan kerana ujian ini hanya sedikit dan kecil. Kepanasan di akhirat nanti tiada tolok bandingnya serta melampaui apa yang boleh di fikirkan oleh akal  manusia. Pun begitu masih ada rungutan. Saya teringat pertama kali saya menempah tempat bersama Rayhar, tempat penginapan kami di Mekah di Hotel AlAzhar terletak 350m dari Bukit Marwah, sudah ada rasa tak puas hati di kalangan ahli keluarga. Itulah ujian pertama kami. Allah hu Akbar!. Allah memang menguji kesabaran umatnya!. Dugaan Allah akan berterusan sebab untuk mendapatkan ganjaran syafaat Rasullullah di akhirat tidaklah semudah yang kita sangka!. Ya Allah ampunlah kami..berikan kesabaran yang tinggi untuk kami menghadapai semua ujian mu Ya Allah.

Sabda Rasulullah SAW : “Sesiapa mampu untuk mati di Madinah, hendaklah di lakukannya, sesungguhnya aku akan memberi syafaat kepada mereka yang mati di Madinah”.

Sabda Rasulullah SAW : “Pahala solat di masjidku ini adalah seribu kali lebih baik daripada solat di masjid lain kecuali di Masjid al-Haram”.

Melalui kelas kelas pengajian,Ustaz ustaz memberitahu bahawa mengerjakan umrah di bulan Ramadhan mendapat ganjaran yang tinggi ia itu menyamai pahala haji yang sunat.  Disokong oleh beberapa hadith termasuk yang ini sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, Ibnu Majah: عُمْرَةٌ فِي رَمَضَانَ تَعْدِلُ حَجَّةً
Maksudnya: "Umrah di bulan Ramadhan menyamai haji".

Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bertanya

kepada seorang wanita dari Madinah: “Apa yang menghalang kamu dari mengerjakan Haji bersama kami?”


Wanita tersebut menjawab: “Kami mempunyai dua ekor unta. Suami dan anak saya menggunakan seekor dan seekor lagi untuk tunggangan ahli keluarga yang lain.

Rasulullah SAW kemudian memberitahu wanita tersebut: “Apabila bulan

Ramadan tiba, pergilah mengerjakan ‘umrah, kerana ‘umrah di bulan ramadan adalah seperti menemaniku mengerjakan Haji.” [Sahih al-Bukhari ]

Saya memang tak sabar untuk menziarahi Rasullulah.Jadi saya pergi ziarah Rasulullah dahulu sebelum kami pergi secara berkumpulan.  Selepas solat Suboh saya banyak berselawat dan berdoa agar di permudahkan Allah untuk memasuki kawasan Raudhah tetapi tak berjaya kerana kawasan tersebut telah ditutup dan pintu Babu Salam juga di tutup. Saya tak putus asa. Jadi saya terus sahaja  menziarahi Rasullulah dan melafazkan syahadah saya atas rasa cinta kepada Allah dan RasulNya. Tak lupa juga saya menyampaikan salam kawan kawan kepada Rasulullah. Itu adalah tindakan awal saya, dengan harapan selepas itu saya akan berpeluang memasuki Raudhah.

Terdapat beberapa riwayat hadith mengenai ziarah Rasulullah. Antara yang mahsyur ialah:
Dari Ibnu Umar bahwa Rasulullah SAW telah bersabda :" Sesiapa yang menziarah kuburku, wajib ke atasnya Syafaatkku". Hadis riwayat ad-Daruqutni.

"Sesiapa yang menziarahiku sesudahku mati (kuburku), maka seolah-olah dia menziarahiku semasa aku masih hidup". Hadis riwayat ad-Daruqutni dan al-Baihaqi.

"Tempat di antara Kuburku dan Mimbarku (Raudah) adalah salah satu taman daripada taman syurga". Hadis riwayat Ahmad, Nasaie, Baihaqi dan Tabarani.

Setelah selesai ziarah Nabi secara sendirian, saya harus segera balik kehotel kerana kami semua diminta berkumpul di lobi jam 8 pagi. Ikuti kisah saya selanjutnya didalam siri yang sama Bahagian ke 3. Jumpa lagi.



No comments:

Post a Comment