Wednesday, April 22, 2020

CUTI MELANCUNG


Teks: Zyed Ahmad Hassan

Selalu orang berkata, “Engkau asyik kerja aje, kumpul duit banyak-banyak bukan boleh bawa ke kubur”. Kata kata ini sudah kerap saya dengar, sama ada di ucapkan sambil melawak atau spontan. Namun hakikat kehidupan kita memang saperti itu. Terpulang kepada kita bagaimana hendak mengagihkan masa. Kata kata yang lebih mengancam saperti “ Kerja cari duit penat-penat, engkau mati anak anak yang dapat”. Kenyataan saperti juga tidak dinafikan. Ada ibu bapa bekerja keras untuk menyediakan bekalan untuk anak-anak mereka, sehingga lupa untuk melayan, menghibur  dan memanjakan diri sendiri. Ada yang demam dan sakit sebab bekerja siang malam. Ada yang sakit dan mati sebelum sempat merasai hasil kerja penat lelah mereka. Sebab itu kita disaran untuk mengambil beberapa hari dari kesibukan kita untuk berehat dan bersenang-senang, untuk tenangkan hati dan perasaan. Ambil cuti sekurang-kurangnya 20 hari dalam satu tahun.

Kalau bekerja sendiri, kita boleh pergi bercuti bila-bila masa yang kita hendak. Kalau kerja makan gaji, kita boleh memohon cuti. Setiap tahun saya gunakan kemudahan cuti untuk pergi melancung atau ke Tanah Suci untuk melakukan ibadah umrah. Sebenarnya pergi melancung bukanlah membuang masa. Melancung dan melihat negara orang membuka minda kita mengenai sesebuah negara, budaya dan adat resam serta cara hidup mereka. Apabila kita merantau dinegara orang, kita dapat belajar mengenai kesabaran dan kemanusiaan. Kita dapat bezakan buruk baik dinegara orang berbanding dinegara sendiri. Kita dapat rasakan bagaimana layanan yang diberikan kepada kita  oleh rakyat tempatan. Sebagai muslim, kesukaran untuk melakukan solat contohnya jauh berbeza dengan kemudahan yang didapati dinegara sendiri. Dalam bab ini, “Hujan emas dinegara orang, hujan batu dinegara sendiri, lebih baik dinegara sendiri”.


Melancung berkumpulan lebih baik dari melancung bersendirian. Kita boleh bertukar-tukar fikiran dan pendapat, menambah kawan dan kenalan, berkongsi hobi, menambah ilmu pengetahuan dan mungkin juga membuka peluang untuk meluaskan perniagaan kita. Kepada yang asyik bekerja, fikir fikirkan lah untuk bercuti dan melancung.

No comments:

Post a Comment