Wednesday, April 22, 2020

Kembara Balkan 1

Teks:  Zyed Ahmad Hassan
Foto:  Zyed Ahmad Hassan

Kembara Balkan- Bahagian 1

Kawan-kawan telah war-warkan betapa indahnya permandangan di Bosnia. Teruja dengan kempen mereka kami telah membuat keputusan untuk melancung kenegara Balkan tersebut pada bulan November tahun lalu.

Hari ini saya hendak kongsi pengalaman saya ke Bosnia. Dari Crotia menuju ke Bosnia kami melalui persisiran  pantai Laut Adriatic. Permandangan sepanjang perjalan dengan bas itu sungguh cantik, Masya Allah. Kelihatan pokok-pokok kekuningan sebab musim gugur akan berakhir. Laut Adriatic membiru dan terdapat berpuloh dan mungkin beratus pulau-pulau kecil. Bas meluncur laju  melepasi terowong buatan menembusi bukit dan gunung serta mengambil selekoh-selekoh yang berpuloh saya tak sempat nak hitung satu persatu kerana asyik melihat permandangan yang indah.
Permandangan dari bas bergerak Lautan Adriatic

Kambing Golek Yang Dibakar Menggunakan Kinci Air

Depan Pintu Masuk ke Restoran di Blagaj

Kinci Air untuk Golek Kambing Bakar

Perkuboran Mangsa Perang Bosnia -Serbia

Dalam Terowong Sarajevo

Permandangan Dalam Terowong Sarajevo 

Rumah Asal Yang DiWakaf Stesyen Mula Terowong 

DiHadapan Masjid Gazi Sarajevo


Di Vlasic Mountain


Permandangan diBawah Jambatan Mostar
  
Destinasi pertama hari ini ialah ke Mostar sebuah kota besar dan penting di Bosnia. Mostar terletak ditebing Sungai Neretva. Kota ini dipisahkan dengan sebuah Jambatan yang dikenali sebagai Old Bridge atau Stari Most. Istimewanya  jambatan lengkong  ini telah dibina pada zaman Ottomon berusia lebih 400 tahun tapi rosak teruk dibom  semasa peperangan  Bosnia dengan Serbia pada tahun 1992-1995. Jambatan ini dibina semula 11 tahun setelah peperangan tamat. Bangunan disini terserlah senibina Ottomon Turkey dan banyak krafttangan dari perak dan gangsa serta kebanyakan buatan Turkey dan terdapat juga buatan Bosnia sendiri.

Sebelah tengahari kami ke Blagaj untuk makan tengahari di Restoran Riblji sambil menikmati  keindahan sungai dan airterjun. Airterjun yang turun dari Gunung disitu menghasilan Sungai Buna yang jernih dan bersih serta berarus deras. Masya Allah, suasananya sungguh tenang dan kami makan ikan bakar dengan santai di Restoran tepi sungai sambil mendengar deruan air terjun dan air yang mengalir melalui jeram-jeram batu disungai itu. Habis makan kami mengerjakan solat di Tekke Derwish sebuah bangunan berhampiran yang menempatkan sejarah pengamal sufi . Terdapat surau dibahagian bawah. Kami dimaklumkan sebulan  sekali atau sebelah malam Jumaat ada orang datang untuk berzikir.

Keesokkan harinya kami melawat Terowong Harapan , Sarajevo Tunnel yang dibina semasa Sarajevo dikepong oleh Tentera Serbs. Terowong inilah menjadi nadi kehidupan kawasan di sebelah lapangan terbang Sarajevo ( yang dikuasi oleh Tentera Antarabangsa) untuk penghantaran makanan, senjata  ringan dan kelengkapan perang dan  lain-lain bantuan kemanusiaan  bagi membantu tentera muslim dan tentera bosnia untuk mempertahankan Sarajevo. Terowong ini sepanjang 840 m terbagi kepada 3 bahagian  untuk menghubungkan Dobrinja ,yang dikuasai  tentera Serbia dengan Butmir   iaitu 160m sebelah Dobrinja, 340m di bawah landasan kapalterbang dan 340 m disebelah Butmir. Penggalian terowong dipertanggungjawabkan kepada Tentera Darat Bosnia. Kerja penggalian dijalankan 24 jam sehari dengan giliran kerja setiap 8 jam dan upah hanya sekotak rokok sehari. Kerja membina terowong bermula pada 1 Mac 1993. Terowong yang dibina dari hujung kedua belah bertemu ditengah tengah pada 30 Jun1993. Terowong tersebut lebarnya 1 m dan tinggi 1.6m dan tempat paling dalam ialah 5m dibawah landasan kapal terbang , terus digunakan pada 1hb Julai 1993. Begitulah kegigihan mereka untuk menyelamatkan Sarajevo dan untuk melepaskan penduduk dikawasan tersebut dari sekatan Pasukan Antarabangsa yang di dapati banyak memihak kepada tentera Serbia.

Sebelah tengahari kami melawat Kompleks Masjid Gazi Husrev beg. Masjid ini yang kedua tertua di Sarajevo dibina oleh Gazi yang ketika itu menjadi Gabenur Sarajevo  1530-1531M zaman pemerintahan Usmaniyah yang berpengkalan di Turkey. Kompleks disini mengandungi Masjid, bazar, perpustakaan, makam, sekolah AlQuran, Madrasah, klinik dan tempat mandi dan tandas.  Masjid ini rosak teruk dibom semasa peperangan dengan Serbia 1992-1995 dan di perbaiki dan bina semula setahun kemudian. Gazi adalah orang yang bertanggungjawab membina sebuah kampong menjadi kota Serajevo. Kami berada dikota Sarajevo hingga malam jam 6 petang dimana suasana sudah gelap. Sebelum suasana menjadi gelap kami juga berpeluang melawat Perkuburan Besar mangsa perang dan bersiar di Sebiji Square  atau tempat Perkumpulan Burung Merpati  dan membeli cenderahati di sekitar bazar disitu.  Sempat juga kami solat berjamaah di masjid Gazi dan mengambil peduli kemaslahatan penduduk Islam disitu. Alhamdulillah Bosnia telah banyak berubah dan kegiatan keagamaan dan ibadah dikhabarkan jauh lebih baik dari sebelum perang Bosnia-Serbia. 

Kami bermalam di Sarajevo dan keesokan harinya kami menyambung perjalanan ke Vlasic Mountain yang mengambil masa selama beberapa jam termasuk singgah dibeberapa tempat melepas penat perjalanan.  Paling menarik kami singgah disebuah restoran yang menghidangkan kambing golek yang dibakar menggunakan kinci air. Sayangnya saya lupa nama tempat tu tapi saya sempat merakamkan gambar kambing yang digolek.

Perjalanan ke Vlasic Mountain amat mencabar kerana bas panjang itu terpaksa menaiki gunung melalui jalan yang sempit untuk sampai kehotel penginapan, hotel Pahuljica yang terletak pada paras 1236 m atas paras laut. Kami sampai ke sebuah Restoran di situ jam 9 malam. Suasana gelap dan teramat sejuk. Tempat ini sengaja dilawati kerana ingin penginapan berlainan. Suhu  malam itu sangat sejuk 3 deg Celcius sehingga berjalan dan bercakap pun terketar-ketar, tangan sudah pakai sarung tangan pun tak cukup untuk menahan kesejukan. Jam 10 malam kami sampai di hotel. Hotel itu diperbuat dari kayu dan Alhamdulillah ada pemanas jadi tidaklah kami jadi kerepot kesejukan. Keesokan harinya bas membawa kami turun untuk kembali keSarajevo untuk membeli belah sebelum pulang ke TanahAir. Syukur Alhamdulillah, akhirnya kami sampai juga ke Bosnia yang sebelum ini kami hanya melihat dari TV dan dengar dari berita. InsyaAllah saya akan menyambung catatan percutian saya ke dua buah lagi Negara Balkan iaitu Crotia dan Slovenia.



 http://www.pixeden.com/psd-mock-up-templates/hardcover-psd-book-cover-mockup-scene

No comments:

Post a Comment